VoyForums
[ Show ]
Support VoyForums
[ Shrink ]
VoyForums Announcement: Programming and providing support for this service has been a labor of love since 1997. We are one of the few services online who values our users' privacy, and have never sold your information. We have even fought hard to defend your privacy in legal cases; however, we've done it with almost no financial support -- paying out of pocket to continue providing the service. Due to the issues imposed on us by advertisers, we also stopped hosting most ads on the forums many years ago. We hope you appreciate our efforts.

Show your support by donating any amount. (Note: We are still technically a for-profit company, so your contribution is not tax-deductible.) PayPal Acct: Feedback:

Donate to VoyForums (PayPal):

Login ] [ Contact Forum Admin ] [ Main index ] [ Post a new message ] [ Search | Check update time | Archives: 12345[6]78910 ]
Subject: Detik-detik terakhir


Author:
Itaarissa
[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]
Date Posted: 11:38:29 02/12/04 Thu
Author Host/IP: 203.115.226.151

Detik-detik terakhir kehidupan insan mulia..



-----Original Message-----

Daripada Ibnu Mas'ud ra bahawasanya ia berkata: Ketika ajal Rasulullah SAW sudah
dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aisyah ra.

Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu
bersabda:"Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga
Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat
kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi
peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."

Allah berfirman: "Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk
orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka
bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."

Kemudian kami bertanya: "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah? Baginda menjawab:
Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke
Jannatul Makwa serta ke Arsyila' la."

Kami bertanya lagi: "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?
Rasulullah menjawab: Salah seorang ahli bait. Kami bertanya: Bagaimana nanti
kami mengafani baginda ya Rasulullah?

Baginda menjawab: "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."

Kami bertanya: "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?" Kami menangis
dan Rasulullah SAW pun turut menangis.

Kemudian baginda bersabda: "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua.
Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas
tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku, kemudian keluarlah
kamu semua dari sisiku.

Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian
Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala
tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang
mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang
wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua."

Semakin Tenat

Semenjak hari itulah Rasulullah SAW bertambah sakitnya, yang ditanggungnya
selama 18 hari, setiap hari ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya
hari Isnin, di saat baginda menghembus nafas yang terakhir.

Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin
bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan
azannya, ia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:
"Assalamualaikum ya Rasulullah?" Kemudian ia berkata lagi "Assolah
yarhamukallah."

Fatimah menjawab: "Rasulullah dalam keadaan sakit?" Maka kembalilah Bilal ke
dalam masjid, ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi
ke tempat Rasulullah, lalu ia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian
Rasulullah memanggilnya dan menyuruh ia masuk.

Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah SAW bersabda: "Saya sekarang dalam
keadaan sakit, Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam
dalam solat."

Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata:
"Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?" Kemudian ia memasuki
masjid dan berkata kepada Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat
tersebut.

Ketika Abu Bakar ra melihat ke tempat Rasulullah yang kosong, sebagai seorang
lelaki yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia
menjerit dan akhirnya ia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid
menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah SAW. Baginda bertanya: "Wahai
Fatimah, suara apakah yang bising itu? Siti Fatimah menjawab: Orang-orang
menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah SAW tidak ada bersama mereka."

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abi Thalib dan Abbas ra, sambil
dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda
solat dua rakaat, setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda:
"Ya ma'aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan
Allah, sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua setelah aku tiada.
Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT, kerana aku akan
meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam
akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."

Malaikat Maut Datang Bertamu

Pada hari esoknya, iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut
supaya ia turun menemui Rasulullah SAW dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan
Allah menyuruh kepada Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah SAW dengan lemah
lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka ia dibolehkan masuk, namun
jika Rasulullah SAW tidak mengizinkannya, ia tidak boleh masuk, dan hendaklah ia
kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Ia menyamar
sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah
SAW, Malaikat Maut itupun berkata: "Assalamualaikum Wahai ahli rumah kenabian,
sumber wahyu dan risalah!" Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada
tamunya itu: "Wahai Abdullah (Hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan
sakit."

Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: "Assalamualaikum. Bolehkah saya
masuk?" Akhirnya Rasulullah SAW mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda
bertanya kepada puterinya Fatimah: "Siapakah yang ada di muka pintu itu? Fatimah
menjawab: "Seorang lelaki memanggil baginda, saya katakan kepadanya bahawa
baginda dalam keadaan sakit. Kemudian ia memanggil sekali lagi dengan suara yang
menggetarkan sukma."

Rasulullah SAW bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia?" Fatimah menjawab: "Tidak
wahai baginda." Lalu Rasulullah SAW menjelaskan: "Wahai Fatimah, ia adalah
pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan
kubur."

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Masuklah, Wahai Malaikat Maut. Maka masuklah
Malaikat Maut itu sambil mengucapkan 'Assalamualaika ya Rasulullah." Rasulullah
SAW pun menjawab: Waalaikassalam Ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah
atau untuk mencabut nyawaku?"

Malaikat Maut menjawab: "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika
tuan izinkan akan saya lakukan, kalau tidak, saya akan pulang.

Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan
kecintaanku Jibril? "Saya tinggal ia di langit dunia?" Jawab Malaikat Maut.

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril as datang kemudian
duduk di samping Rasulullah SAW. Maka bersabdalah Rasulullah SAW: "Wahai Jibril,
tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat? Jibril menjawab: Ya, Wahai
kekasih Allah."

Ketika Sakaratul Maut

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: "Beritahu kepadaku Wahai Jibril, apakah yang
telah disediakan Allah untukku di sisinya? Jibril pun menjawab; "Bahawasanya
pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris
untuk menyambut rohmu."

Baginda SAW bersabda: "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa
lagi yang telah disediakan Allah untukku? Jibril menjawab lagi: Bahawasanya
pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias,
sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti
kedatangan rohmu."

Baginda SAW bersabda lagi: "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi
wahai Jibril, apa lagi yang di sediakan Allah untukku? Jibril menjawab: Aku
memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan
sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk
Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan
aku?"

Jibril as bertanya: "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan
tanyakan? Rasulullah SAW menjawab: "Tentang kegelisahanku, apakah yang akan
diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan
diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang
akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"

Jibril menjawab: "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah
telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai
engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."

Maka berkatalah Rasulullah SAW: "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai
Malaikat Maut dekatlah kepadaku?" Lalu Malaikat Maut pun berada dekat Rasulullah
SAW.

Ali ra bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah yang akan memandikan baginda
dan siapakah yang akan mengafaninya? Rasulullah menjawab: Adapun yang memandikan
aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril
akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.

Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah. Ketika roh baginda
sampai di pusat perut, baginda berkata: "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."

Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril as memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah
SAW bertanya: "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku? Jibril
menjawab: Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda,
sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?" Akhirnya roh yang mulia
itupun meninggalkan jasad Rasulullah SAW.

Kesedihan Sahabat

Berkata Anas ra: "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah ra aku dengar ia
sedang menangis, sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai
sutera. Wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah
kenyang dari gandum. Wahai orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana.
Wahai orang yang jarang tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Mu'az bin Jabal
ra telah berkata: "Rasulullah SAW telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk
memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun.
Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang, kemudian orang itu
berkata kepadaku: "Apakah anda masih lena tidur juga wahai Mu'az, padahal
Rasulullah SAW telah berada di dalam tanah."

Mu'az terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu ia mengucapkan: "A'uzubillahi
minasy syaitannir rajim?" Setelah itu ia lalu mengerjakan solat.

Pada malam seterusnya, ia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama. Mu'az
berkata: "Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan?" Kemudian ia memekik
sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.

Pada esok harinya orang ramai berkumpul, lalu Mu'az berkata kepada mereka:
"Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami.
Dahulu, bila Rasulullah SAW bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf
(al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku. Setelah Mu'az menerima Mushaf, lalu
dibukanya maka nampaklah firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu akan
mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula?" (Az-Zumar: 30).

Maka menjeritlah Mu'az, sehingga ia tak sedarkan diri. Setelah ia sedar kembali,
ia membuka Mushaf lagi, dan ia nampak firman Allah yang berbunyi: "Muhammad itu
tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa
orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang
(murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat
mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?" (Ali-lmran: 144)

Maka Mu'az pun menjerit lagi: "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad?" Kemudian ia
keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika ia akan meninggalkan
penduduk Yaman, ia berkata: "Seandainya apa yang kulihat ini benar. Maka akan
meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan
menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."

Kemudian ia berkata: "Aduhai sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad SAW?" Lalu
iapun pergi meninggalkan mereka. Di saat ia berada pada jarak lebih kurang tiga
hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari
tengah-tengah lembah, yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud: "Setiap yang
bernyawa pasti akan merasakan mati."

Lalu Mu'az mendekati sumber suara itu, setelah berjumpa, Mu'az bertanya kepada
orang tersebut: "Bagaimana khabar Rasulullah SAW? Orang tersebut menjawab: Wahai
Mu'az, sesungguhnya Muhammad SAW telah meninggal dunia. Mendengar ucapan itu
Mu'az terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya, ia
memanggil Mu'az: Wahai Mu'az sedarlah dan bangunlah."

Ketika Mu'az sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat
untuknya yang berasal dari Abu Bakar Assiddik, dengan cop dari Rasulullah SAW.
Tatkala Mu'az melihatnya, ia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di
matanya, kemudian ia menangis dengan tersedu-sedu.

Setelah puas ia menangis iapun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah.
Mu'az sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal
sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: "Asyhadu Allaa Ilaaha
Illallah?" Mu'az menyambungnya: "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah?"
Kemudian ia menangis dan akhirnya ia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.

Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy ra lalu ia
berkata kepada Bilal: "Wahai Bilal sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang
kuat dekatnya, ia adalah Mu'az yang sedang pengsan.

Ketika Bilal selesai azan, ia mendekati Mu'az, lalu ia berkata: "Assalamualaika,
angkatlah kepalamu wahai Mu'az, aku telah mendengar dari Rasulullah SAW, baginda
bersabda: "Sampaikanlah salamku kepada Mu'az."

Maka Mu'az pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras,
sehingga orang-orang menyangka bahawa ia telah menghembus nafas yang terakhir,
kemudian ia berkata: "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada
baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal?
Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah ra."

Ketika sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Mu'az mengucapkan:
"Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh?" Yang keluar
ketika itu adalah Raihanah, ia berkata: "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti
Fatimah. Kemudian Mu'az menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan:
"Assalamualaikum ya ahli bait."

Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian ia berkata: "Rasulullah SAW
bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram
adalah Mu'az bin Jabal, ia adalah kekasih Rasulullah SAW."

Kemudian Fatimah berkata lagi: "Masuklah wahai Mu'az?" Ketika Mu'az melihat Siti
Fatimah dan Aisyah ra ia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Ketika ia sedar,
Fatimah lalu berkata kepadanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sampaikanlah salam saya kepada Mu'az dan khabarkan kepadanya bahawasanya ia
kelak di hari kiamat sebagai imam ulama."

Kemudian Mu'az bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur
Rasulullah SAW.

[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]

Replies:
[> Subject: Re: Detik-detik terakhir


Author:
Mami ros
[ Edit | View ]

Date Posted: 21:27:17 02/13/04 Fri
Author Host/IP: 219.92.36.166


Terimakaseh Ita....

Walaupun kita sekarang berada dalam kumpulan kecil..tinggal di rumah tumpangan ehsan dari webmaster ..(mujur sempat membina rumah kecil yang comel ini)....sebelum rumah besar di robohkan.....namun ikatan ukhwah dan kasihsayang antara insan ...kerana Allah masih utuh dan kejap..walaupun badai melanda...menyusur tembok keperkasaan bersama..sambil mengekang arus binasa....kita masih ada lagi. di sini.....

Semoga...kekal abadi ....ikatan murni
[> Subject: Re: Detik-detik terakhir


Author:
MeowHidayah
[ Edit | View ]

Date Posted: 09:29:56 02/14/04 Sat
Author Host/IP: 202.184.17.249

Insya-Allah...
[> Subject: Re: Detik-detik terakhir


Author:
Itaarissa
[ Edit | View ]

Date Posted: 13:13:13 02/14/04 Sat
Author Host/IP: 203.115.226.151

Mami....

Kasih sayang hakiki itu tersimpan di sudut paling dalam dlm hati......kerana kedudukannya yg paling dlm lah maka ia sukar dicerobohi atau dikotori.....yg kelihatan hanyalah keindahan kasih sayang...walaupun kadangakala ia goyang juga.....ia suatu nikmat yg sukar digambarkan....sukar ditafsirkan.....tanpa dendam....yg ada hanya setulus jalur kasih...megharap redha tuhan.....mampukah kita menghampar sejalur kasih,seindah kasih junjungan? Wallahua`lam


[ Contact Forum Admin ]


Forum timezone: GMT+8
VF Version: 3.00b, ConfDB:
Before posting please read our privacy policy.
VoyForums(tm) is a Free Service from Voyager Info-Systems.
Copyright © 1998-2019 Voyager Info-Systems. All Rights Reserved.