Author: One_na...NaWaRaSaRuSi..
| [ Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 10:19:50 01/29/04 Thu
Author Host/IP: 219.95.128.7
Ketawa di masjid gelapkan suasana kubur
=============================================================================
DALAM Islam apa saja yang dilakukan biarlah bersederhana. Sesuatu perbuatan
itu jika dilakukan dengan terlampau, biasanya akan membawa padah buruk.
Begitu juga dengan ketawa. Kata orang, ketawa membuatkan hati seseorang itu
riang. Ada juga pendapat bahawa ketawa penawar duka.
Namun, banyak ketawa sebenarnya menjadikan hati semakin malap dan tidak
berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati
juga tidak berfungsi lagi.
Nabi Muhammad melarang umatnya daripada gelak-ketawa yang melampau batas.
Ini kerana banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.
Barang siapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu
ilmu.
Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan,
hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzah yang bakal
ditempuhi kelak.
Dunia hanya tempat tumpangan sementara. Kita sedang menuju ke satu
destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.
Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada
berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara, tetapi
di akhirat berpanjangan tanpa had.
Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan
dan berkekalan.
Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab serta
menyedarkan diri kita mengenai bahaya yang akan ditempuh.
"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur," demikian ditegaskan
oleh Rasulullah.
Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh
yang panjang.
Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu
pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita
digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang
ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.
Nabi pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya dilaknat akan dia
oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak
menangis di akhirat."
Saidina Ali sentiasa mengeluh: "Jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan."
Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, baginda merasakan masih kurang lagi
amalan. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira
24 jam.
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, bermaksud; "Barang siapa banyak
tertawa-tawa, nescaya meringankan api neraka." Maksudnya mudah dimasukkan
ke dalam neraka.
Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.
Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan.
Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh
Rasulullah. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan
gigi tanpa bersuara kuat.
Beberapa sahabatnya pernah berkata "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum,
tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."
Diriwayatkan bahawa Rasulullah suka menziarahi orang sakit dan menghulurkan
bantuan kepada yang memerlukan walaupun ketika baginda sendiri dalam
kesempitan. Baginda amat menghormati tetamu juga tuan rumah. Justeru
baginda tidak pernah kelihatan berlunjur walaupun di rumahnya sendiri,
malah tidak pernah ketawa dengan kuat.
Rasulullah adalah seorang insan yang sentiasa tersenyum dan suka
menggembirakan orang lain. Sebarang kegusaran dan kehibaan hati akan
disembunyikan sedapat mungkin agar tidak diketahui sahabat.
Abdullah bin Harits menyebut: "Aku tidak pernah melihat seseorang yang
sentiasa tersenyum melebihi Rasulullah."
Dalam sebuah riwayat lain menceritakan, ketika Rasulullah sedang berjalan
tiba-tiba datang seorang lelaki lalu merentap baju baginda dengan kasar
sehingga meninggalkan kesan koyak.
Lelaki itu memohon kepada Rasulullah untuk diberikan kepadanya sedikit
pemberian. Rasulullah sambil tersenyum terus memaafkan lelaki itu. Baginda
sememangnya terkenal dengan sikap pemaaf walaupun kepada musuhnya.
Ketawa pernah disifatkan sebagai 'ubat jiwa'. Tetapi sesuatu ubat akan
berubah menjadi racun apabila berlebihan.
Imam Hassan Al-Banna pernah berwasiat janganlah banyak ketawa, kerana hati
yang sentiasa berhubung dengan Allah itu, selalunya tenang dan tenteram.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
] |