| Subject: Di Luar Lingkaran: Akademi Fantasia dan dilema ibu bapa |
Author:
MrBerita
|
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 07:13:19 08/24/03 Sun
Apakah pendapat anda?
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Rencana/20030824085219/Article/
- Rencana dan Pendapat -
Di Luar Lingkaran: Akademi Fantasia dan dilema ibu bapa
Daripada seorang penulis pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu...
APA yang berlaku pada ‘Akademi Fantasia’ – rancangan ‘realiti TV’ di Astro – tentulah memeranjatkan. Malah saya percaya penganjurnya sendiri tidak pernah menjangka sambutan yang begitu luar biasa pada rancangan itu. Mesej ringkas atau SMS yang dihantar dalam masa sembilan minggu rancangan itu berjalan mencecah angka lima juta. Langganan Astro khabarnya meningkat puluhan ribu dalam masa sembilan minggu itu.
Apakah rahsia kejayaan Akademi Fantasia? Seramai 12 orang pelajar yang dipilih dari ratusan anak muda yang diuji bakat di seluruh negara ‘dikurung’ dalam sebuah rumah. Sebanyak 16 buah kamera ‘mengikuti’ pergerakan mereka sepanjang masa. Mereka diajar menari, menyanyi dan berlakon oleh ‘guru-guru’ dalam bidang masing-masing.
Setiap minggu mereka akan mengadakan konsert. Salah seorang daripada mereka akan ‘tercicir’. Itu bukan keputusan juri atau hakim. Penontonlah yang membuat keputusan menyingkirkan mana-mana pelajar. Undian itu dijalankan melalui SMS.
Lima orang akhirnya menjadi pelajar yang sampai ke pusingan terakhir. Vincent Chong (Vince) akhirnya diisytiharkan juara. Mungkin banyak orang yang mahukan Mohd Khairul Nizam (Khai), Ahmad Azizi, Siti Harnizah (Nija) atau Nurlizawaty (Liza) tetapi pada akhirnya mereka boleh menerima hakikat bahawa Vince yang berhak menang. Mereka tidak melihat Vince sebagai orang Cina tetapi seorang peserta yang sebenarnya berbakat. Siapa kata perpaduan tidak boleh terbentuk melalui rancangan TV yang baik?
Bilakah kali terakhir kita mengikuti rancangan TV yang membabitkan sekian banyak penonton? Bilakah masanya penonton menjadi sebahagian dari rancangan TV itu sendiri? Dan bilakah masanya kita dapat melihat anak muda yang asalnya tidak dikenal menjadi begitu popular? Malah para pelajar Akademi Fantasia mulai mengalahkan populariti mana-mana penyanyi terkenal dewasa ini. Akademi Fantasia melahirkan bukan satu bintang tetapi 12 sekali gus.
Rancangan ini bukan tidak ada pengkritiknya. Ada kalangan ibu bapa yang risau kesannya pada anak mereka. Cerita penonton yang obses dengan program itu bukan baru. Malah apabila Rosmayati tersingkir, ratusan ribu peminatnya melepaskan rasa marah dan kecewa. TV benar-benar menjadi kuasa yang menentukan pola pemikiran, mengubah waktu berinteraksi dan menyebabkan penonton digam di depan set masing-masing minggu demi minggu.
Para moralis memang mudah mencari salah. Ini program yang membenarkan anak muda secara bebas bergaul. Ada pimpinan agama yang terkejut dengan adegan berpeluk-pelukan di antara pelajar yang terbabit. Maka cakap-cakap mengenai Islamik tidak, melampau tidak, wajar tidak, terus menjadi bahan perbincangan.
Secara jujur Akademi Fantasia seharusnya membuka mata kita pada realiti hari ini. Ibu bapa yang melarang anak mereka menonton Akademi Fantasia sebenarnya tidak berlaku adil pada anak dan diri mereka sendiri. Inilah ibu bapa yang dulunya menggilai Pop Yeh Yeh, yang dipukau oleh filem Hindustan dan yang diulit pelbagai khayalan ketika muda mereka. Ironinya inilah juga manusia yang harus menyesuaikan waktu solat mereka dengan tayangan Lo Soy Betty La Fea, La Intrusa, Rosalinda, Lux Clarita, Mis Tres Hermanas, Sanjivani dan E-Pring.
Ibu bapa harus sedar bahawa zaman sudah berubah. Masalah besar anak-anak muda kita sebenarnya berpunca dari nilai lapuk ibu bapa sendiri. Mereka menjadi dinasour di tengah dunia anak-anak mereka. Mereka memaksakan nilai yang sebenarnya lapuk untuk digunapakai oleh anak mereka.
Hari ini teknologi komputer dan maklumat (ICT) telah mengubah hukum hakam berurusan dan berinteraksi. Dunia menjadi tanpa sempadan oleh lebuh raya maklumat bernama internet dan asakan teknologi semasa. Langit menjadi terbuka oleh TV 24 jam. Anak-anak hari ini dicorakkan oleh apa yang mereka tonton di TV, apa yang mereka layari di internet dan pengaruh permainan komputer di rumah.
Kita tidak boleh menghalang semua itu dari anak-anak kita. Satu waktu dulu orang mendebatkan baik buruknya pengaruh TV. Banyaklah masa dan seminar untuk membahaskan hal berkenaan. Hari ini kita tahu TV ialah kotak bodoh yang harus kita terima sebagai sebahagian daripada persekitaran kita. TV menjadi kemestian di ruang tamu semua rumah. Saya tidak tahu kalau ada rumah yang tidak punya TV di negara ini hari ini.
Baikkah semua siaran yang kita tonton di TV? Tentulah tidak.
Begitu juga internet. Kalau kita mengambil kira ratusan laman web yang memperagakan pornografi, menjajakan hasutan dan merosakkan nilai malah akidah, lupakan saja internet. Seperti juga TV, internet ialah satu kemestian dalam kehidupan anak-anak kita hari ini. Mereka akan menggunakan internet dan kita harus menggalakkan penggunaannya. Maklumat ialah kekuatan dan kita perlukan maklumat terkini dan tercanggih. Kita mahu anak kita mendapat ilmu dan maklumat secara mudah dan percuma dari internet. Siapa yang tidak menguasai ilmu dan maklumat akan ketinggalan.
Apakah dengan menghalang penggunaan internet, kita dapat memastikan anak-anak kita tinggal murni, tidak terpengaruh dan tidak tercabar?
Teknologi membawa kebaikan, dan tentunya menyediakan banyak keburukan. Itu hakikat yang harus kita terima. Filem boleh sahaja menjadi buruk kalau kita mahu melihat aspek keburukannya. Drama TV bukan semuanya elok dan mengajak pada kebaikan. Tentulah banyak siaran dalam sekian banyak saluran TV itu yang tidak menyenangkan kita.
Tetapi inilah realiti yang harus kita tangani sebagai ibu bapa. Anak-anak kita hidup dalam dunia yang berbeza. Seperti juga alat teknologi yang pantas menjadi obsolete, kita juga harus menerima hakikat bahawa nilai kita juga mudah menjadi obsolete. Anak kita menggunakan internet, memanfaatkan SMS dan menggunakan bahasa, koda dan slanga yang khusus melalui telefon mobile. Ini pengucapan anak muda. Kita seharusnya menyedari hal itu. Dan kita harus toleran pada pengucapan anak-anak muda ini.
Memahami suara hati dan citra anak-anak kita sebenarnya memerlukan penilaian semula ketrampilan perenting kita. Kita semua harus pergi ke sekolah parenting semula untuk memahami nuansa dan keunikan nilai anak-anak kita. Kita boleh secara mudah meletakkan peraturan ke atas apa yang boleh dilayari di internet, apa yang boleh dibaca dalam SMS dan bahan bacaan yang mana yang boleh dihazam.
Kita tidak boleh menjadi polis moral pada anak-anak kita sepanjang masa. Kita akan hanya melahirkan jurang generasi yang buruk. Kalau dulu jurang generasi di antara kita dengan ibu bapa kita ialah kerana mereka rata-rata buta huruf atau tidak berpendidikan tinggi, jurang generasi kali ini berbeza sekali. Kita berdepan dengan keadaan ibu bapa hari ini sebenarnya enggan menerima kelainan nilai dan citra anak-anak mereka. Ibu bapa yang rata-rata terpelajar hari ini melakukan kesalahan paling besar yang mereka sendiri khuatiri ketika mereka muda: memaksakan nilai mereka pada anak-anak mereka.
Anak-anak masa kini memang perlu ditangani. Kebebasan mutlak tidak harus dibenarkan. Mereka perlukan kawalan. Tetapi mereka harus diberi cukup ruang untuk memperagakan individualiti. Pembinaan karektor bukan lagi dicorakkan oleh persekitaran keluarga dan sosial tetapi pengaruh dari pelbagai sumber dari budaya popular dan ICT.
Dalam satu majlis ceramah mengenai tabiat membaca tidak lama dulu, saya ditanyakan apakah kita harus mengawal bahan bacaan anak-anak. Memang kita harus memantau bahan-bahan itu. Tetapi sekali lagi, selera anak-anak kita harus difahami. Cita rasa mereka harus kita hormati. Memaksakan apa yang kita fikir baik dan elok saja belum tentu menyenangkan mereka. Pada akhirnya mereka enggan membaca kerana semua bahan yang kita berikan memualkan mereka.
Akademi Fantasia ialah contoh klasik bagaimana kita boleh memahami cita rasa anak-anak kita. Sekurang-kurangnya ibu bapa harus sedar bahawa inilah corak hiburan yang disenangi mereka. Pemahaman itu akan menjadikan kita sedar bahawa selama ini kita tidak berupaya meladeni kehendak, citra dan aspirasi mereka.
Bagi jutaan anak-anak kita, inilah masanya mereka mendapat ’kuasa’ untuk membuat pilihan. Kalau kebebasan itupun tidak boleh kita berikan, kita hanya mengundang masalah untuk berinteraksi dengan golongan muda hari ini.
Penulis pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu.
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
| |