| Subject: Bekas Pelajar AF kian hari kian sibuk |
Author:
MrBerita
|
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 18:01:53 08/29/03 Fri
Oleh Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my
Hantar kepada kenalan! | Format untuk pencetak
AKADEMI Fantasia (AF) ternyata memberi impak dalam dunia hiburan tanah air khususnya dunia penerbitan. Impak itu tidak hanya kerana usaha keras pihak Astro malah media turut memainkan peranan menaikkan program popular itu.
Ketua Program Astro, Zainir Aminullah, tidak menafikan peranan media dalam hal ini yang meletakkan AF di tempat tertinggi dalam ‘rating’ program popular.
Zainir turut melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak media di atas publisiti, sokongan dan galakan yang diberikan sepanjang sembilan minggu program AF diadakan.
“Walaupun sokongan dan publisiti hebat yang diberikan kepada rancangan berkonsepkan realiti ini di luar jangkaan Astro, namun tidak dinafikan ia adalah nadi pencetus kepada fenomena yang tercipta.
“Media berjaya menjulang dan memahat nama AF di persada seni tanah air sebagai rancangan televisyen tempatan paling popular,” kata Zainir.
Zainir berkata demikian dalam Malam Apresiasi Media yang diadakan pihak Astro dan pelajar-pelajar AF sebagai menghargai sumbangan wartawan, malam kelmarin di Zigi’s Restaurant, Kuala Lumpur.
Turut hadir Pengetua AF, Freddie Fernandez dan tenaga pengajar seperti Adnan Abu Hassan, Linda Jasmine serta Pengarah Hal Ehwal Korporat Astro, Tengku Anuar Musaddad.
Dalam acara lebih empat jam itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan bekas pelajar AF termasuk Vince, Nija, Nana, Rosma, Azizi, Khai, Sahri, Liza, Atie dan Adi Fashla. Malah mereka turut mengajak beberapa wakil media menyanyi bersama.
Dalam pada itu, Zainir memberitahu Harian Metro, jadual bekas pelajar itu semakin padat sejak tamat pengajian di AF 9 Ogos lalu. Selain memenuhi undangan pertunjukkan pentas, mereka perlu menghadiri latihan untuk memperkemaskan lagi persembahan.
“Sehingga Oktober ini, mereka penuh dengan jadual seperti persembahan makan malam, konsert dan promo kemerdekaan serta rakaman program televisyen. Kami merancang untuk menjelajah negara seperti yang dinyatakan sebelum ini, pada Disember ini.
“Sekarang masih sibuk dengan tugasan sedia ada. Bagaimanapun, dalam setiap tugasan, tidak semestinya kesemua mereka bersama. Kami tak menang tangan nak layan semua permintaan promoter, jadi kami cuba bahagikan mana pelajar yang sesuai.
“Ada juga sesetengah pihak yang meminta beberapa orang saja, yang mahukan gandingan pelajar itu dengan pelajar ini,” katanya.
Mengenai jelajah negara Disember ini, Zainir berkata, ia sebagai tanda terima kasih kepada penonton AF terutama mereka yang mengundi atau terbabit dalam Afundi. Terlebih dahulu, 12 pelajar ini akan mengadakan konsert sempena sambutan kemerdekaan di Taman KLCC pada 31 Ogos ini.
“Sambutan hangat yang diberikan ke atas mereka ini mengunjurkan kami kepada persembahan konsert terima kasih untuk orang ramai yang akan diadakan secara percuma bermula jam 8.30 malam. Konsert selama dua setengah jam ini menampilkan persembahan solo mereka dengan lagu hits masa kini,” katanya.
Sepanjang sembilan minggu AF berlangsung, Astro menerima lima juta SMS dengan 800,000 SMS diterima untuk malam konsert terakhir. Sebahagian daripada keuntungan itu didermakan kepada badan-badan kebajikan.
Sementara itu, saluran Chat@17 yang didedikasikan kepada peminat AF berbual mengenai program itu, menerima 20,000 hingga 35,000 SMS setiap hari.
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
| |