VoyForums
[ Show ]
Support VoyForums
[ Shrink ]
VoyForums Announcement: Programming and providing support for this service has been a labor of love since 1997. We are one of the few services online who values our users' privacy, and have never sold your information. We have even fought hard to defend your privacy in legal cases; however, we've done it with almost no financial support -- paying out of pocket to continue providing the service. Due to the issues imposed on us by advertisers, we also stopped hosting most ads on the forums many years ago. We hope you appreciate our efforts.

Show your support by donating any amount. (Note: We are still technically a for-profit company, so your contribution is not tax-deductible.) PayPal Acct: Feedback:

Donate to VoyForums (PayPal):

Login ] [ Contact Forum Admin ] [ Main index ] [ Post a new message ] [ Search | Check update time | Archives: 12[3]45678910 ]
Subject: Apa jadi pada bahasa kita 10 tahun akan datang


Author:
idenTical
[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]
Date Posted: 08:39:02 05/23/04 Sun
Author Host/IP: 202.184.41.62

BEBERAPA orang pembaca ruangan ini bertanya; Mengapa saya tidak tulis tentang isu bahasa. Selama 20 tahun di DBP saya ikut bekerja dan memperjuangkan bahasa. Apakah kerana sudah masuk ke dunia lain, sudah lupa kepada bahasa?

Tidak lupa. Tapi kecewa dan merasa tiada guna lagi bercakap soal bahasa. Perjuangan bahasa sudah tewas. Tiada tenaga lagi. Selama 45 tahun, sistem pendidikan kita pun gagal memartabatkan bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan pun jadi bahan Arkib Negara. Kita sering berdebat aspek yang remeh temeh. Tentang dua tiga patah perkataan dalam sebuah nyanyian dan tentang “bahasa rojak” yang sudah lama wujud.

Saya bersetuju dengan Johan Jaaffar, bahawa “bahasa rojak” adalah “isu sampingan yang sama sekali mengetepikan soal yang lebih besar yakni sikap kita sendiri terhadap bahasa Melayu. Tidak ada faedahnya berbincang tentang ‘bahasa rojak’ – sebab bahasa sedemikian tidak boleh dikawal dengan undang-undang dan peraturan.”

Bagi saya, isu “bahasa rojak” samalah dengan isu fesyen rambut dan pakaian anak-anak muda. Yang perlu kita teliti dan kita bahaskan ialah realiti kedudukan bahasa Melayu sekarang, sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Janganlah kita dilalaikan oleh isu ‘fesyen bahasa anak-anak muda’ dan bahasa orang yang tak pedulikan bahasa. Menteri dan pegawai tinggi pun sering menggunakan bahasa campur aduk Melayu-Inggeris dalam majlis rasmi dan TV. Nama negara kita “Malaysia” itu bahasa apa? Di Putrajaya pun ada nama-nama yang aneh bunyinya. Tetapi ini bukan isu pokok.

Kira-kira 18 tahun lalu nampak jelas bahasa Melayu akan jadi bahasa utama dan benar-benar bahasa rasmi negara, bahasa nombor satu. Sekarang, dalam realitinya tidak lagi. Inilah isu pokok. Sulit, berat dan sensitif. Memerlukan kesungguhan, komitmen dan keberanian menongkah arus politik.

Apabila tiada cinta, tiadalah perjuangan dan komitmen

APABILA negara kita dan seluruh masyarakat terlalu mementingkan (obses) kepada pencapaian ekonomi (wang dan harta benda) bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan, yang juga bahasa rasmi, jadi semakin tidak penting lagi. Sebabnya, ia tidak boleh membawa kejayaan ekonomi yang diharapkan kerana nilai ekonominya sangat rendah, malah dalam banyak bidang pekerjaan, ia tidak ada nilai sama sekali.

Maka dalam bidang pendidikan pun, kita semakin utamakan mengajar pengetahuan dan keterampilan untuk memenuhi permintaan pasaran kerja atau keperluan industri. Di samping itu, kita juga perlu mempersiapkan tenaga keahlian untuk memenuhi tuntutan perdagangan global.

Pusat ‘pendidikan’ semakin berubah menjadi ‘bengkel pengajaran keterampilan’, bukan lagi ‘pusat ilmu’ sebagaimana yang kita faham dulu. Ilmu kemanusiaan (humanities) nampak seperti untuk memenuhi kehendak kurikulum saja. Maka yang penting adalah pengetahuan dan kecekapan bekerja menggunakan peralatan moden dan bahasa Inggeris. Inilah salah satu sebab mengapa kita mengalami masalah ketiadaan integriti atau harga diri.

Bahasa Melayu hidup kembali – berkembang maju dan mencapai status sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara – oleh kerana ia menjadi salah satu daripada tonggak tiga serangkai perjuangan kebangsaan Melayu. Dua tonggak lagi ialah agama Islam dan ekonomi Melayu.

Agama Islam dan ekonomi Melayu masih lagi jadi tonggak perjuangan politik Melayu. Tetapi bahasa Melayu, tidak lagi. Semangat ‘cinta’ kepada bahasa Melayu yang menjiwai perjuangan kebanyakan tokoh nasionalis zaman lalu, sama ada dalam Pas mahu pun Umno, hampir lupus dan pudar dalam jiwa pemimpin sekarang. Pemimpin Umno zaman lalu sanggup menghadapi risiko politik, menentang pucuk pimpinan, kerana perjuangan bahasa. Maka apabila tiada ‘cinta’, tiadalah komitmen dan tiadalah perjuangan.

Bahkan semangat kebangsaan Melayu itu pun pada umumnya sudah layu. Pada orang Melayu pun, bahasa ibundanya bukan lagi faktor penting untuk meningkatkan taraf hidup dan masa depan mereka. Cogan kata dan nyanyian “Bahasa Jiwa Bangsa” tidak berdaya lagi untuk membakar semangat kebangsaan Melayu yang sudah layu itu. Maka bahasa Melayu tidak laku lagi untuk dijadikan modal atau senjata politik. Justeru bahasa tidak termasuk lagi dalam senarai kerja politik pemimpin Melayu sekarang. Sekarang zaman “politik wang”. Semangat dan kecintaan kepada bahasa dan bangsa tiada peranan lagi.

Apakah padahnya nanti?

Antara Bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Inggeris

PERISTIWA yang menimpa bahasa Melayu ini berbeza dengan bahasa Cina. Perjuangan dan usaha mengangkat martabat bahasa Cina sebagai salah satu bahasa utama di negara kita, semakin mantap dan teratur. Mereka bekerja – bukan berdebat isu remeh- temeh. Mereka mengorbankan tenaga, fikiran dan wang, di samping menggunakan politik secara aman, untuk mendapat bantuan sekolah Cina dan sekali gus mengukuhkan kedudukan bahasa Cina.

Johan Jaaffar membuat kesimpulan: “Sistem sekolah Cina di negara ini adalah yang paling komprehensif di dunia, selepas Negara China dan Taiwan. Singapura mempunyai penduduk Cina melebihi 70 peratus tetapi tidak terdapat sebuah sekolah Cina pun.”

Mengikut Johan lagi: Akhbar harian terbesar - 334,767 naskhah sehari - adalah akhbar Cina. Kedua, akhbar Inggeris - 293,176 naskhah - dan akhbar Melayu hanya 239,395 naskhah sehari - jatuh nombor tiga.

Ada lima harian arus perdana dalam bahasa Cina, tiga bahasa Inggeris dan dua bahasa Melayu. Akhbar Melayu jatuh nombor tiga juga, meskipun jumlah orang Melayu nombor satu.

Perbelanjaan iklan untuk media cetak berjumlah RM2.36 bilion. Enam akhbar Melayu, termasuk mingguan, mendapat bahagian hanya RM421.6 juta (12.2 peratus). Selebihnya ke akhbar Cina dan Inggeris. (Johan Jaafar, BM, 2 Mei 04). Jadi akhbar berbahasa Melayu, nombor tiga juga.

Saya belum bertemu statistik berapa peratuskah jumlah program TV – termasuk Astro – dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris. Yang pasti paling banyak tentulah dalam bahasa Inggeris. Tiada sebuah negara pun di dunia, di mana bahasa bekas penjajah dan bahasa rakyat pendatang mempunyai peranan begitu penting sekali dalam kehidupan rakyat, kecuali di negara kita. Nampaknya, amalan tolak ansur bahasa ini telah memberi sumbangan kepada perhubungan kaum dan menjamin kestabilan politik-ekonomi. Apakah ini akan kekal? Masa dan generasi akan datanglah yang akan menentukan.

Pegawai eksekutif tidak mampu menggunakan bahasa Melayu

SAYA pernah jadi Pengerusi Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (STMB), Datuk Keramat Holding Bhd. dan UMBC. Juga beberapa tahun menduduki Lembaga Pengarah KUB Bhd. Ketiga-tiganya tersenarai di Bursa Malaysia. Majoriti saham STMB dan KUB dalam pegangan Melayu. Namun di ketiga-tiga syarikat ini - STMB, KUB dan Datuk Keramat - hampir seluruh urusan rasminya dalam bahasa Inggeris. Semua pegawai eksekutif – termasuk Melayu – tidak mampu menggunakan bahasa Melayu. Apabila mempengerusikan mesyuarat, ada kala saya terpaksa juga menggunakan dua bahasa. Mesyuarat-mesyuarat yang saya tidak terlibat, semuanya dalam bahasa Inggeris.

Sekarang saya jadi pengerusi dua syarikat yang 100 peratus milik Melayu dan lebih 90 peratus kakitangannya Melayu. Tetapi laporan dan kertas mesyuarat tetap dalam bahasa Inggeris. Tiada pegawai yang mahir menggunakan bahasa Melayu. Laporan tahunan kepada Pendaftar Syarikat yang disediakan oleh Setiausaha Syarikat dan Juruaudit bertauliah, semuanya dalam bahasa Inggeris.

Saya juga memiliki tiga syarikat kecil keluarga. Semua laporan tahunan untuk Pendaftar Syarikat, yang disediakan oleh Setiausaha Syarikat dan Juruaudit, dalam bahasa Inggeris.

Begitulah biasanya amalan semua Syarikat Bhd dan Sendirian Bhd di negara kita. Pegawai eksekutif, Setiausaha dan Juruaudit syarikat tidak tahu menggunakan bahasa Melayu, dan tiada siapa-siapa pun yang menuntut mereka menggunakan bahasa Melayu. Untuk memenuhi syarat, bagi syarikat tersenarai, di samping bahasa Inggeris, terjemahan Melayu – yang lebih adalah hiasan – disediakan dalam buku laporan tahunan.

Bahasa apakah yang digunakan dalam pengurusan Perbadanan Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia?

Jika tidak salah ingatan, kira-kira 30 tahun lalu, ada arahan supaya hubungan surat menyurat dengan kerajaan mestilah dalam bahasa Melayu. Nama syarikat pun mesti dalam bahasa Melayu. Sekarang nampaknya tidak lagi.

Pendeknya, dalam sektor swasta, iaitu bidang peluang pekerjaan yang terbesar sekarang ini, bahasa utamanya ialah bahasa Inggeris atau bahasa Cina. Bahasa Melayu digunakan oleh peniaga-peniaga kecil Melayu. Di kalangan pegawai Melayu pun – kerajaan atau swasta – selalu menggunakan bahasa Inggeris. Jadi bahasa Melayu, di mana-mana pun, tetap nombor tiga.

Sejak tahun 2003, semua mata pelajaran yang termasuk dalam bidang Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Ertinya semua mata pelajaran penting dari segi pasaran kerja, dalam bahasa Inggeris. Maka pelajar generasi ini akan bertambah lemah lagi penguasaan bahasa Melayu mereka.

Guru-guru bidang Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris diberi elaun khas. Apakah elaun khas ini akan membawa hasil pengajaran yang lebih baik, khususnya bagi pelajar Bumiputra, tiada siapa pun dapat memastikan. Yang jelas, guru-guru mata pelajaran lain, termasuk Bahasa Melayu, merasa mereka kurang berharga dan mata pelajaran yang mereka ajar pun secara automatik jadi tidak begitu penting. Apakah cara elaun insentif begini suatu dasar atau tindakan yang betul?

Jadi apakah yang perlu kita lakukan sekarang? Apakah sebenarnya yang kita mahu? Apakah pendirian DBP, Pengerusinya, Tan Sri Kamarul Ariffin, Ahli Lembaganya Datuk Baha Zain dan Datuk Johan Jaaffar dan Ketua Pengarahnya, Datuk Aziz Deraman? Dan Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang sudah jadi anggota Parlimen?

Saya akan cuba menjawab minggu depan. Apa pendapat saudara? Yang sudi, kirimlah melalui e-mel di atas atau alamat di bawah ini.

[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]

Replies:
[> Subject: Re: Apa jadi pada bahasa kita 10 tahun akan datang


Author:
idenTical
[ Edit | View ]

Date Posted: 08:40:08 05/23/04 Sun
Author Host/IP: 202.184.41.62

Ini Cetusan Nor Azam diambil dari Berita Minggu 23 Mei 2004
[> Subject: Re: Apa jadi pada bahasa kita 10 tahun akan datang


Author:
MyName
[ Edit | View ]

Date Posted: 19:05:15 06/08/04 Tue
Author Host/IP: 210.187.192.140

isu bahasa memang tak pernah sudah sejak zaman sebaik saja kita melangkah ke era kemerdekaan lagi. Sebenarnya dah banyak perjuangan org-org terdahulu untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Namun perubahan zaman sedikit sebanyak telah menjejaskan perkembangan bahasa Melayu. Sejak bahasa Melayu baku tidak lagi diiktiraf sebagai bahasa standard kita sudah sepatutnya risau.

Mengapa saya perlu berkata begitu? Satu, bila mana bahasa loghat org Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bahasa standard, org dari negeri lain juga akan mengangkat bahasa loghat negeri mereka sebagai bahasa standard. Jadi, sudah timbul bahasa mengikut negeri. dalam erti kata lain bahasa pasar. Dalam kamus dewan sendiri terdapat bahasa loghat. Jadi camner nak kata bahsa loghat tu bukan bahsa standard?

Peredaran zaman telah mengubah atau mempengaruhi sedikit sebanyak bahasa yang digunakan oleh golongan muda. Jadi, mereka juga mahu bahasa mereka diiktiraf. So, timbul la isu bahasa rojak.

Bila bahasa Inggeris pula diiktiraf sebagai bahasa pengantar di sekolah2 (untuk subjek tertentu) percampuran bahasa itu terus terjadi dalam pertuturan seharian atas alasan mengasimilasikan bahasa inggeris ke dalam bahasa Melayu yang juga boleh memperkayakan bahasa melayu tu sendiri. So, tak boleh nak salahkan org2 yang gunakan bahasa rojak. Sebaliknya kita perlu mengkaji kenapa mereka gunakan bahasa rojak? dan bagaimana nak memperkasakan bahasa Melayu.

Cuba lihat bahasa lain. Contohnya bahasa Korea atau bahasa Arab, kita tak akan temui bhs Inggeris dalam percakapan mereka sebaliknya bahasa itu sepenuhnya. dan jika mereka menggunakan bahasa inggeris mereka bercakap dalam bahasa itu sepenuhnya.

Persoalannya sekarang, kenapa bahasa melayu boleh menjadi bahsa rojak dan begitu tercemar. Adakah kerana kita banyak mengasimilasikan bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu atas alasan memperkayakan bahasa melayu itu?

Wallahu`lam
[> Subject: Re: Apa jadi pada bahasa kita 10 tahun akan datang


Author:
MyName
[ Edit | View ]

Date Posted: 19:06:30 06/08/04 Tue
Author Host/IP: 210.187.192.140

isu bahasa memang tak pernah sudah sejak zaman sebaik saja kita melangkah ke era kemerdekaan lagi. Sebenarnya dah banyak perjuangan org-org terdahulu untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Namun perubahan zaman sedikit sebanyak telah menjejaskan perkembangan bahasa Melayu. Sejak bahasa Melayu baku tidak lagi diiktiraf sebagai bahasa standard kita sudah sepatutnya risau.

Mengapa saya perlu berkata begitu? Satu, bila mana bahasa loghat org Kuala Lumpur diiktiraf sebagai bahasa standard, org dari negeri lain juga akan mengangkat bahasa loghat negeri mereka sebagai bahasa standard. Jadi, sudah timbul bahasa mengikut negeri. dalam erti kata lain bahasa pasar. Dalam kamus dewan sendiri terdapat bahasa loghat. Jadi camner nak kata bahsa loghat tu bukan bahsa standard?

Peredaran zaman telah mengubah atau mempengaruhi sedikit sebanyak bahasa yang digunakan oleh golongan muda. Jadi, mereka juga mahu bahasa mereka diiktiraf. So, timbul la isu bahasa rojak.

Bila bahasa Inggeris pula diiktiraf sebagai bahasa pengantar di sekolah2 (untuk subjek tertentu) percampuran bahasa itu terus terjadi dalam pertuturan seharian atas alasan mengasimilasikan bahasa inggeris ke dalam bahasa Melayu yang juga boleh memperkayakan bahasa melayu tu sendiri. So, tak boleh nak salahkan org2 yang gunakan bahasa rojak. Sebaliknya kita perlu mengkaji kenapa mereka gunakan bahasa rojak? dan bagaimana nak memperkasakan bahasa Melayu.

Cuba lihat bahasa lain. Contohnya bahasa Korea atau bahasa Arab, kita tak akan temui bhs Inggeris dalam percakapan mereka sebaliknya bahasa itu sepenuhnya. dan jika mereka menggunakan bahasa inggeris mereka bercakap dalam bahasa itu sepenuhnya.

Persoalannya sekarang, kenapa bahasa melayu boleh menjadi bahsa rojak dan begitu tercemar. Adakah kerana kita banyak mengasimilasikan bahasa inggeris ke dalam bahasa melayu atas alasan memperkayakan bahasa melayu itu?

Wallahu`lam


[ Contact Forum Admin ]


Forum timezone: GMT+8
VF Version: 3.00b, ConfDB:
Before posting please read our privacy policy.
VoyForums(tm) is a Free Service from Voyager Info-Systems.
Copyright © 1998-2019 Voyager Info-Systems. All Rights Reserved.