VoyForums
[ Show ]
Support VoyForums
[ Shrink ]
VoyForums Announcement: Programming and providing support for this service has been a labor of love since 1997. We are one of the few services online who values our users' privacy, and have never sold your information. We have even fought hard to defend your privacy in legal cases; however, we've done it with almost no financial support -- paying out of pocket to continue providing the service. Due to the issues imposed on us by advertisers, we also stopped hosting most ads on the forums many years ago. We hope you appreciate our efforts.

Show your support by donating any amount. (Note: We are still technically a for-profit company, so your contribution is not tax-deductible.) PayPal Acct: Feedback:

Donate to VoyForums (PayPal):

Login ] [ Contact Forum Admin ] [ Main index ] [ Post a new message ] [ Search | Check update time | Archives: 12[3]45678910 ]
Subject: Cetusan Norazam


Author:
idEnTiCaL
[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]
Date Posted: 14:57:12 06/17/04 Thu
Author Host/IP: 202.184.41.62

Ekstremis, Militan dan Integrasi Nasional

PERBALAHAN kaum atau dalam istilah yang positif isu integrasi nasional atau perpaduan kebangsaan sentiasa mendasari gerak nadi politik Malaysia – negara kita. Walaupun musuh keamanan yang amat berbahaya ini dapat kita hindari, ia masih juga menghantui kita. Hantu ini segera muncul apabila saja ada sedikit masalah yang menyentuh kaum tertentu.

Kita berjaya mewujudkan “integrasi politik” menerusi gabungan parti pelbagai kaum dan agama, namun “integrasi nasional” yang sebenarnya masih jadi impian indah. Ramai yang berpendapat, selagi wujud parti politik berasaskan kaum, selama itulah politik perkauman dan integrasi nasional akan menjadi hantu dan duri dalam daging. Kita juga ibarat menyeberangi sungai penuh buaya ganas dengan meniti diatas sebatang kayu berlumut. Dan akan lebih bahaya lagi jika titi sebatang ini dibiarkan dimakan semut dan anai-anai.

Bagaimanapun, setakat ini itulah penyelesaian politik terbaik yang boleh kita lakukan. Dengan segala kelemahan dan masalahnya, kerjasama atau integrasi politik ini masih dapat menjamin kehidupan yang selesa. Dengan kebijaksanaan pemimpin yang telah lalu, terutama pada era Tun Razak dan Tun Mahathir, telah berjaya mengangkat taraf hidup kita dan meletakkan negara kecil ini di peta dunia. Kejayaan ini mengagumkan banyak orang asing. Segala macam perompak dan penjenayah pun berebut mencari rezeki di sini.

Selepas Peristiwa 13 Mei, larangan tegas agar sebarang isu berunsur perkauman tidak dibicarakan secara terbuka, dipatuhi semua pihak, terutama parti politik dan media. Semua yang waras politik bersetuju supaya usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan politik dijadikan satu keutamaan. Meskipun tidak semua pihak bersetuju sepenuhnya dengan semua program Dasar Ekonomi Baru, tetapi bersetuju bahawa program sosial-ekonomi bagi “menyusun semula masyarakat” mestilah dilaksanakan. Kekayaan negara mestilah diagihkan dengan saksama, khususnya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. Percaturan kuasa politik dan pentadbiran juga mesti dibuat dengan hati-hati. Jika tidak, keamanan dan kestabilan tidak akan wujud.

Ketenangan politik perkauman yang wujud selama kira-kira 20 tahun membolehkan program DEB, khususnya dalam bidang pelajaran dan perniagaan dilaksanakan dengan baik, meskipun matlamat angka yang ditargetkan tidak tercapai. Nampak jelas wujud Bumiputera berjaya ‘generasi DEB’ disamping pencapaian sosial-ekonomi warga keturunan Cina dan India yang terus meningkat berlipat ganda. Bumiputera pada umumnya masih ketinggalan dalam semua bidang kecuali politik dan pentadbiran. Warga keturunan Cina dan India yang miskin pun masih wujud juga. Ini menjadi tapak semaian subur kegiatan ekstremis agama dan kaum yang mudah jadi militan.

Tahun l990-an menampakkan gejala politik perkauman kembali muncul. DEB yang sudah tamat tempohnya digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara. Namun isu perkauman timbul semula, malah semakin dibincang secara terbuka. Pertubuhan seperti Sequi semakin mendapat tempat. Pelajaran – khususnya Sekolah Cina kembali menjadi isu. Sekolah Kebangsaan akhirnya berkembang jadi sekolah untuk orang Melayu. Gagasan Sekolah Wawasan yang merupakan jalan tengah, ditolak. Dasar Pelajaran Kebangsaan diakui gagal menuju matlamat integrasi nasional.

Di samping itu perkembangan atau lebih tegas perpecahan politik Melayu yang amat ketara, telah memberi kedudukan tawar menawar politik yang lebih baik kepada bukan Bumiputera, khususnya bagi warga keturunan Cina. Orang Melayu pun merasa tidak senang. Tetapi tokoh-tokoh politik Melayu terus berperang. Ketenangan politik perkauman berkocak lagi. Suara-suara politik sumbang dan gejala ekstremis muncul kembali.

Inilah salah satu cabaran politik besar yang menjadi tanggungjawab pemimpin politik Melayu, khususnya Umno sebagai parti pemerintah yang utama. Kebijaksanaan dan keberanian politik diperlukan. Semangat dan kejujuran politik Barisan Nasional diuji lagi!

Perdana Menteri: Tidak membenarkan fahaman ekstremis, keganasan

dan fahaman militan

TEPATLAH waktunya apabila Perdana Menteri mengingatkan bahawa “Kerajaan berpendirian tegas tidak membenarkan sebarang fahaman ekstremis dan sama sekali tidak membenarkan apa juga pendekatan berbentuk keganasan dan fahaman bercorak militan.”

Bahawa amaran ini dibuat pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, yang kali pertama diadakan di istana baru di Putrajaya pada 5 Jun lalu, adalah besar maknanya dan implikasinya.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan: “Setiap rakyat di negara ini akan dilindungi secara saksama mengikut hak dan jaminan yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.” Begitulah ikrarnya - yang pertama sebagai Perdana Menteri - di hadapan DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Seminggu sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib “memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak menjadikan kegagalan segelintir pelajar bukan Bumiputera memasuki fakulti kritikal di IPTA berdasarkan meritokrasi, sebagai isu perkauman”. (UM 31 Mei 04).

Isu kemasukan 128 pelajar dalam pengajian perubatan telah diselesaikan oleh kabinet dengan segera pada 5 Jun 2004. Namun isu kemasukan pelajar ke IPTA tahun ini nampak belum juga tamat.

Maka sehari selepas ucapan Perdana Menteri itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh memberikan amaran yang lebih keras: “Meritokrasi adalah jelas. Kalau pelajar itu gagal ke IPTA, maka gagallah kerana mana ada tempat lagi di IPTA?”

Datuk Dr Shafie mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi pihak 381 pelajar keturunan India yang mempunyai kelayakan memasuki IPTA tetapi tidak ditawarkan tempat.

Tegas Datuk Dr Shafie, “Kalau meritokrasi adalah jelas….Kalau tidak berjaya, maka tidak berjayalah. Hendak rayu itu adalah hak mereka dan hak kementerian terserah kepada kementerian. Terpulang kepada MIC, kalau MIC hendak menanggung semua pelajar tersebut, kita ada 20 universiti swasta dan 500 kolej swasta.” (UM, 7 Jun 04).

Barang diingat, apabila Tun Dr Mahathir memutuskan supaya sistem meritokasi digunakan, pada umumnya orang Melayu menentang keras. Jadi isu yang panas.

Jika Tun Dr Mahathir tidak tegas, gagasan ini tidak akan jadi. Setelah masuk tahun ketiga, nampaknya terbalik pula. Di mana salahnya?

Jelaslah, pelajaran masih menjadi isu yang dengan mudah menyalakan api perkauman. Isu yang semestinya ditangani secara pentadbiran pendidikan, segera dijadikan isu politik. Masing-masing parti telah menubuhkan biro aduan. Ini perkembangan yang amat tidak sihat.

Barisan Nasional tidak boleh sama sekali membenarkan mana-mana parti komponennya menubuhkan apa juga biro atau badan khusus untuk menangani apa juga masalah berdasarkan kaum. Generasi baru yang berminat dalam politik perlu diperingatkan jangan mengulangi ‘kesilapan’ masa lalu. Kita jangan berpatah balik ke belakang. Saya juga pernah menyarankan supaya parti politik jangan dibenarkan menubuh institusi pendidikan. Kewujudan 20 universiti dan 500 kolej swasta yang ada sekarang perlu dipantau dengan serius.

Dalam majlis istiadat yang sama di istana Putrajaya, Perdana Menteri menegaskan “program integrasi nasional perlu disokong semua rakyat dan perlu dipupuk dari usia muda”. Akan tetapi cara parti-parti politik menangani isu kemasukan ke IPTA ini dengan sendirinya menanam perasaan perkauman dalam jiwa anak-anak muda kita bahawa mereka tidak mendapat tempat, bukan kerana tiada kelayakan, tetapi kerana kaum. Justeru politik mesti dipergunakan. Media juga nampaknya ikut menari dengan gendang dan rentak perkauman ini.

Cabaran kepada Menteri Pelajaran baru. Kita telah tersasar jauh

UNTUK kesekian kalinya Perdana Menteri mengulangi lagi: “Sekolah adalah sebaik tempat membantu usaha membina perpaduan nasional. Untuk itu kerajaan sedang berusaha menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah utama, sebagai sekolah perdana yang mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat dari pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.”

Inilah salah satu cabaran utama kepada Menteri Pelajaran kita yang baru. Langkah ke arah ini mestilah bermula segera dengan tegas dan kemas. Kita telah terlambat dan tersasar jauh. Maka jika langkah ini berjaya, ini adalah kemenangan politik yang luar biasa bagi bangsa Malaysia – bagi masa depan anak cucu kita tanpa mengira keturunan bangsa.

Sesungguhnya ini cabaran dan kerja amat berat dan punya sensitiviti politik amat rumit. Jika ini dapat bermula pada zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sudah pastilah beliau akan dikenang sebagai salah seorang lagi Perdana Menteri Malaysia yang mencipta sejarah – membentuk ‘bangsa Malaysia baru’ yang gemilang dan terbilang!

Malangnya tiba-tiba akhbar melaporkan dengan tajuk besar di muka depan: “Kit Siang persoal negara Islam. Ketua Pembangkang juga pertikaikan mengapa ketua kerajaan harus orang Islam”. Tokoh politik seperti Lim Kit Siang pasti cukup sedar dan arif tentang akibat daripada ucapan seperti ini. Dan ia nampaknya tidak dapat menunaikan janjinya untuk menjadi pembangkang yang ikut membangunkan negara ini bersama kerajaan.

Seperti biasa, provokasi politik begini akan segera mendapat reaksi lawan yang spontan. Maka Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin memberi amaran: “Lim Kit Siang jangan bermain api”.

Lim Kit Siang pun sudah menjangka reaksi seperti ini, bahkan akan banyak lagi dan mungkin lebih keras lagi. Pastilah dia akan senyum gembira, kerana ‘Kit Siang yang sudah mati, hidup kembali’. Bagi saya, cara terbaik, biarlah Kit Siang berkokok sendirian. Makin dilayan makinlah dia menjadi-jadi.

Tugas kita bukan menjawab ucapan ekstremis perkauman, tetapi bekerja penuh komitmen menegakkan keutuhan politik Bumiputera dan Barisan Nasional. Di situlah kunci kekuatan dan kejayaan kita. Biarkanlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

– (No 86 Jalan SS 22/32, Damansara Jaya, Selangor – 11 Jun 04).

[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]


[ Contact Forum Admin ]


Forum timezone: GMT+8
VF Version: 3.00b, ConfDB:
Before posting please read our privacy policy.
VoyForums(tm) is a Free Service from Voyager Info-Systems.
Copyright © 1998-2019 Voyager Info-Systems. All Rights Reserved.