| Subject: Semangat Kemerdekaan daripada Vince |
Author:
MrBerita
|
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 06:53:00 08/24/03 Sun
http://www.emedia.com.my/Current_News/HM/Tuesday/National/20030819091306/
TIBA-TIBA nama Vincent Chong Ying Cern (Vince), 24, meniti dari bibir ke bibir peminat hiburan tanah air selepas muncul juara Konsert Akademi Fantasia baru-baru ini. Vince, anak kedua daripada enam beradik mengaitkan kemenangannya sebagai istimewa dan membuktikan integrasi kaum semakin meningkat. Biarpun berdarah kacukan, semangat patriotik ternyata amat tebal di sanubari anak muda ini apatah lagi bila bercakap mengenai erti kemerdekaan.
“KEMERDEKAAN bagi saya kesempatan untuk masyarakat negara ini mengenang kembali detik-detik sejarah pembebasan negara daripada belenggu penjajahan British. Bila mengenang sejarah barulah kita tahu kesusahan pejuang kemerdekaan misalnya Tunku Abdul Rahman Putra menuntut kemerdekaan.
Oleh itu, generasi muda khasnya dapat mengambil iktibar dan berusaha mempertahankan kemerdekaan negara tercinta. Kemerdekaan juga menunjukkan kekuatan semangat perpaduan di kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India yang membuatkan penjajah memberi kemerdekaan. Jadi merdeka bagi saya sebagai kebebasan dan perpaduan.
Memang saya dilahirkan di England tetapi saya dibesarkan di Malaysia sejak berusia dua tahun. Malah, saya juga mempunyai kerakyatan negara ini. Jadi tidak perlu ragu kesetiaan saya.
Pengetahuan saya mengenai kemerdekaan Malaysia? Selain belajar dengan guru sejarah di sekolah, saya juga membaca buku sejarah di rumah. Ini secara tidak langsung membantu saya mengenali sejarah kemerdekaan negara ini.
Tokoh kemerdekaan yang menjadi idola saya? Sudah tentu Tunku Abdul Rahman. Saya amat mengkagumi beliau yang bukan saja pintar malah adil kepada semua kaum.
Tindakan beliau menyatukan kaum Melayu, Cina dan India dalam satu parti menunjukkan Tunku amat pentingkan perpaduan.
Jika Tunku gagal satukan masyarakat berbilang bangsa ketika itu, bolehkah kita mencapai kemerdekaan? Dan pastinya saya tidak berpeluang menjadi pelajar Akademi Fantasia (AF) seperti sekarang.
Apa yang saya buat semasa sambutan hari kemerdekaan masa dulu? Biasalah dulu kalau cuti umum sempena hari merdeka, saya duduk di rumah saja.
Masa bersekolah darjah lima dan enam saya sempat ikut ayah pergi ke Dataran Merdeka. Bukan main seronok lagi dapat kibarkan bendera dan juga lihat perarakan kereta tentera.
Ketika itu saya belum tahu erti kemerdekaan sebenarnya. Bila dewasa semua berubah. Kefahaman meningkat membuat saya berfikir menyambut merdeka sebenarnya bukan hanya bersorak ‘merdeka’ pada malam 31 Ogos saja. Kita boleh kibarkan Jalur Gemilang, menonton perarakan dan berdoa pada tuhan supaya keamanan kekal.
Begitupun pada sambutan kali ini saya belum ada rancangan menyambut merdeka. Konsert dan perlumbaan Merdeka Endurance di Litar F1 Sepang? Rasanya saya selesa berehat bersama keluarga di rumah dan tidak akan ke sana.
Tambahan pula selepas ini saya dan rakan AF sibuk dengan persiapan ‘roadshow’ di seluruh negara.
Kemenangan dalam konsert AF? Seperti saya nyatakan pada wartawan sebelum ini, saya cukup terharu apabila menjadi juara Akademi Fantasia, sekali gus membuktikan masyarakat Malaysia tidak memilih warna kulit, bangsa dan agama. Inilah semangat perpaduan yang orang Malaysia pegang sejak merdeka dari dulu hingga kini.
Sebenarnya Akademi Fantasia yang kami sertai sejak sembilan minggu lalu menjadi saksi perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia sejajar dengan bulan kemerdekaan.
Sesungguhnya peluang bergaul dan belajar dengan pelajar dan guru seperti Siti Hajar Ismail (Guru Nada Suara), Adnan Abu Hassan (Guru Vokal), Linda Jasmine (Guru Koreografi) dan Fatimah Abu Bakar (Guru Seni Persembahan) satu pengalaman menarik dan susah untuk dilupa.
Kami seperti satu keluarga dan saling tahu hati budi masing-masing walhal kami berlainan bangsa, agama dan keturunan. Kemesraan yang terjalin mengatasi perbezaan menyebabkan pemergian rakan yang tewas dalam undian sentiasa ditangisi.
Inilah sebenarnya kita harus akui hasil kebijaksanaan pemimpin negara dulu dan kini dalam merencana pengisian kemerdekaan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Akhir kata sempena sambutan hari kemerdekaan saya ingin membuat satu permintaan kepada pihak Imigresen khasnya agar kakak saya Vanessa, 25, diberi taraf penduduk tetap Malaysia. Sejak 20 tahun lalu ayah saya membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen, tetapi belum berhasil.
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
| |