| Subject: Kemunculan 12 Bekas Pelajar AF di Konsert Suria Merdeka 2003 |
Author:
MrBerita
|
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 07:04:18 08/24/03 Sun
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Hiburan/20030823103336/Article/
KONSERT Suria Merdeka 2003 anjuran Petronas, KLCC dan Astro di samping penaja bersama ExxonMobil bakal menyemarakkan semangat patriotik rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-46.
Konsert percuma pada 30 Ogos ini bermula jam 9 malam menghimpunkan nama popular iaitu Siti Nurhaliza, Ella, Jamal Abdillah, Misha Omar, Ruffedge, Yasin, Waheeda, Ferhad dan penyanyi Cina, Z Chen.
Lebih memberi makna, konsert di Taman KLCC itu turut mengundang penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw untuk bersama menghayati detik bersejarah menjelang kemerdekaan negara.
Tidak cukup itu, kemunculan 12 bekas pelajar Akademi Fantasia, program yang mencipta fenomena baru dalam industri penyiaran negara juga antara tarikan yang dijanjikan Konsert Suria Merdeka 2003 kepada orang ramai.
Ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyampai popular Radio Era, Halim Othman dan Linda Onn serta personaliti Astro Ria, Hani Mohsin dan Siti Shahrizah (Eja).
“Penganjuran konsert ini menyerlahkan kesungguhan pihak swasta untuk bersama rakyat menghayati kemerdekaan yang dikecapi hasil usaha di bumi Malaysia yang makmur dan tercinta.
“Ia juga hadiah kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu kepada kejayaan syarikat korporat terbabit,” kata Pengerusi Petronas, Tan Sri Azizan Zainul Abidin pada sidang media pelancaran Kempen Merdeka Petronas 2003 di Esplanade, KLCC, baru-baru ini. Acara kemuncak malam itu ialah pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam sebagai menandakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-46.
Sempena Kempen Merdeka Petronas 2003, syarikat itu turut menyediakan pelbagai kegiatan seperti mengedarkan Jalur Gemilang kepada masyarakat dan sekolah, menaja program Jelajah Merdeka 2003 anjuran Persatuan Wartawan Melayu serta menyertai perbarisan Hari Kebangsaan.
Majlis pelancaran kempen itu juga menyaksikan Azizan menyerahkan lebih 500,000 Jalur Gemilang kepada wakil pengedar perkhidmatan stesen Petronas, Mohd Ali Hasbullah untuk diedarkan kepada orang ramai di stesen Petronas terpilih.
Memudahkan pengunjung turut merasai detik kemeriahan itu, perkhidmatan LRT Putra di stesen KLCC dilanjutkan sehingga jam 2.30 pagi. Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan datang awal menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelak kesulitan.
Siaran langsung konsert itu turut dipancarkan menerusi Astro Ria selain boleh dihayati menerusi pemain dvr (www.dvrplayer.com) dan Radio Era mulai jam 9 malam.
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
| |