VoyForums
[ Show ]
Support VoyForums
[ Shrink ]
VoyForums Announcement: Programming and providing support for this service has been a labor of love since 1997. We are one of the few services online who values our users' privacy, and have never sold your information. We have even fought hard to defend your privacy in legal cases; however, we've done it with almost no financial support -- paying out of pocket to continue providing the service. Due to the issues imposed on us by advertisers, we also stopped hosting most ads on the forums many years ago. We hope you appreciate our efforts.

Show your support by donating any amount. (Note: We are still technically a for-profit company, so your contribution is not tax-deductible.) PayPal Acct: Feedback:

Donate to VoyForums (PayPal):

Login ] [ Contact Forum Admin ] [ Main index ] [ Post a new message ] [ Search | Check update time | Archives: 12345678[9]10 ]
Subject: YDPA adalah Ketua Negara


Author:
samdol
[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]
Date Posted: 16:34:07 08/01/05 Mon

Nampaknya polemik kuasa antara YDPA dan PM masih berlaku. Sebagaimana yang kita tahu Malaysia adalah sebuah negara Raja berperlembagaan. Maka sewajarnyna ia diterjemahkan seiring dengan konsep ini di mana YDPA ialah Ketua Negara manakala PM adalah ketua Kerajaan. Sementara itu peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Perkara ini telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Malaysia. Mengikut konsep ulil amri pula sudah semestinyalah YDPA adalah pemimpin tertinggi kerana baginda merupakan Ketua Negara. Mari kita telitikan konsep ini melalui perlembagaan Malaysia.


KETUA NEGARA DAN NEGERI

Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri.


MAJLIS RAJA-RAJA

Dalam Perlembagaan Persekutuan urusan pemilihan dan perlantikan Yang di-Pertuan Agong adalah terletak pada Majlis Raja-Raja. Dalam sistem kerajaan Persekutuan yang terdapat ramai Raja, sebuah Majlis yang dinamakan Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri bertemu dan berbincang. Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.


NASIHAT KERAJAAN

Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara. Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletak hak pada Parlimen yang kemudiannya meletakkan hak kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri. Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.

Sebagai contohnya apabila sesuatu akta itu digazetkan sepertimana berikut:-

Akta /Surat Pekeliling
UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Akta 42
AKTA KUMPULAN WANG PINJAMAN PERUMAHAN, 1971


Suatu Akta bagi memberikuasa supaya beberapa jumlah wang didapatkan sebagai pinjaman bagi maksud Kumpulan wang Pinjaman Perumahan bagi Persekutuan dan bagi membuat peruntukan berhubung dengan acara kewangan mengenai Kumpulan wang Pinjaman Perumahan bagi Persekutuan dan Negeri-negeri.

[ 3hb September, 1971]

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:




Pindaan Perlembagaan - bagaimanakah perlembagaaan boleh di pinda?

Walaupun kita berpegang kepada konsep ketertinggian perlembagaan, kita masih boleh membuat pindaan terhadapnya kecuali beberapa perkara yang hanya boleh dipinda dengan izin Raja-Raja Melayu. Terdapat juga perkara yang hendak dipinda memerlukan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah atau Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Terdapat empat cara perlembagaan dipinda iaitu:
1- perkara yang memerlukan lebib suara dua pertiga Parlimen dan mendapat keizinan Majlis Raja-Raja.

2-perkara yang menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak yang memerlukan Parlimen mendapat lebih suara dua pertiga dan persetujuan Yang Dipertua Negeri.

3-perkara yang boleh dipinda dengan hanya mendapat lebih suara dalam Parlimen.

4-terdapat perkara yang dipinda dengan hanya mendapat lebih suara dua pertiga dalam dewan Parlimen.

Pindaan cara pertama ialah perkara yang membabitkan tugas dan kuasa Majlis Raja-Raja; melibatkan keutamaan Yang diPertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri; jaminan takhta; dan juga kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera di Sabab dan Sarawak. Persetujuan juga diperlukan bagi sebarang undang-undang yang mengubah sempadan sesebuah negeri. Pada tahun 1971 misalnya, atas sebab kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam, pindaan perlembagaan dibuat bagi melarang menyoal secara umum perkara sensitif, iaitu mengenai kerakyatan, Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak, dan mengenai kedaulatan serta hak istimewa Raja-Raja.

Pindaan cara kedua ialah bagi perkara yang berkaitan dengan kepentingan khas Sabah dan Sarawak yang perlu mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri berkenaan. Antara perkara yang terlibat ialah keanggotaan dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, perkara perundangan dan pemerintahan dalam kuasa negeri, hal agama, bahasa dan juga kedudukan istimewa bumiputera. Akta Imigresen tahun 1963 pula memberi hak dan kuasa kepada kerajaan negeri berkenaan menahan kemasukan orang yang bukan dari Sabah dan Sarawak.

Pindaan cara ketiga ialah pindaan yang hanya memerlukan lebih suara Parlimen. Antara pindaan itu ialah pindaan jadual-jadual tertentu dalam Bahagian III Perlembagaan, pindaan yang melibatkan Perkara 74 dan 76 dalam perlembagaan. Dalam Perkara 74, Parlimen boleh membuat atau meminda undang-undang mengenai perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama. Hal yang sama juga boleh dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri bagi perkara yang berhubung dengan Senarai Negeri atau Senarai Bersama yang diperuntukkan oleh perlembagaan. Contohnya, Senarai Persekutuan dalam Perkara 74 ialah hal ehwal luar negara, pertahanan, keselamatan dalam negeri, dan undang-undang masalah jenayah. Senarai Negeri pula ialah hukum syarak, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, penyu dan perikanan di sungai. Perkara dalam Senarai Bersama ialah kebajikan masyarakat, biasiswa, perlindungan binatang liar dan burung liar, serta perancangan bandar dan desa. Dalam Perkara 76, Parlimen boleh membuat undang-undang dalam Senarai Negeri yang melibatkan pelaksanaan persetiaan, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan mana-mana negara lain.

Pindaan cara keempat ialah bagi perkara yang tidak termasuk dalam tiga cara yang tersebut di atas. Ini hanya memerlukan lebih suara dua pertiga dalam kedua-dua dewan Parlimen.

Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan mestilah ada seorang Ketua Negara Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong. Baginda mengatasi semua orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15 (Perkara 182 dan 183). Selepas baginda, Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah menduduki tempat kedua iaitu selepas Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai Ketua Negara, baginda mempunyai bidang kuasa yang luas seperti yang dikanunkan dalam Perlembagaan. Baginda juga mempunyai peranan dan fungsi dalam tiga cabang Kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.



Kedudukan Dan Kuasa Yang di-Pertuan Agong

Perkara 32(1) dan 32(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan:

"32. Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, dan Permaisurinya.

(1) Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15.

(2) Permaisuri Yang di-Pertuan Agong (yang digelar Raja Permaisuri Agong) adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong."



Perkara 182 dan 183 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

"182. Mahkamah Khas.

(1) Maka hendaklah ada suatu mahkamah yang hendaklah dikenali sebagai Mahkamah Khas dan hendaklah terdiri daripada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, yang hendaklah menjadi Pengerusi, Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan dua orang lain yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

(2) Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1).

(3) Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan di Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri dan segala kes sivil oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri walau di mana pun kuasa tindakan berbangkit.

(4) Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa dan kuasa-kuasa yang sama seperti yang terletak hak pada mahkamah-mahkamah bawahan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan melalui Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang persekutuan dan hendaklah mempunyai pejabat pendaftarannya di Kuala Lumpur.

(5) Sehingga Parlimen, melalui undang-undang, membuat peruntukan khas yang berlawanan berkenaan dengan prosedur (termasuk pendengaran prosiding secara tertutup) dalam kes-kes sivil atau jenayah dan undang-undang yang mengawalselia keterangan dan pembuktian dalam prosiding sivil dan jenayah, maka amalan dan prosedur yang terpakai dalam mana-mana prosiding dalam mana-mana mahkamah bawahan, mana-mana Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan hendaklah terpakai dalam mana-mana prosiding dalam Mahkamah Khas.

(6) Prosiding dalam Mahkamah Khas hendaklah diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota dan keputusannya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

(7) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Ketua Hakim Negara, membuat apa-apa kaedah yang difikirkannya perlu atau suaimanfaat untuk membuat peruntukan bagi penghapusan apa-apa kesulitan atau anomali jua pun dalam mana-mana undang-undang bertulis atau dalam pelaksanaan apa-apa fungsi, perjalanan apa-apa kuasa, penunaian apa-apa kewajipan, atau pembuatan apa-apa perbuatan, di bawah mana-mana undang-undang bertulis, yang mungkin disebabkan oleh Perkara ini, dan bagi maksud itu kaedah-kaedah itu boleh membuat apa-apa pengubahsuaian, adaptasi, penggubahan, pertukaran atau pindaan jua pun kepada mana-mana undang-undang bertulis.

"183. Tiada tindakan boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri.

Tiada tindakan, sivil atau jenayah, boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya atas sifat peribadinya kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri."



Fungsi Eksekutif (Perkara 39)

Walaupun Perlembagaan (Fasal 39) memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong, namun menurut undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh memberikan fungsi eksekutif itu kepada orang lain.

Sungguhpun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan tentang kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong namun lazimnya baginda menerima nasihat dari Kabinet, lebih tepat lagi, Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berhak dan atas kemahuannya meminta segala maklumat mengenai kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada Kabinet.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang ataupun sesuatu pertubuhan (yang lain dari Kabinet) tetapi dalam pelaksanaan tiga fungsi Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda. Ketiga-tiga fungsi itu ialah:


Melantik seorang Perdana Menteri;
Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen;
Meminta supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.

Pelantikan Perdana Menteri adalah berdasarkan kemampuan calon tersebut mendapat suara terbanyak dalam Parlimen. Pemilihan ahli-ahli Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri adalah atas nasihat Perdana Menteri.



Perlembagaan Persekutuan Perkara 39 dan 40 menyatakan:

"39. Kuasa pemerintah Persekutuan.

Kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberikuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain".

"40. Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh Perlembagan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsi-fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan tugas-tugas yang berikut iaitu:


(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen;

(c) meminta supaya di adakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang tersebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak pada menjalankan tugas-tugas yang lain daripada yang berikut, selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang yang lain daripada Jemaah Menteri:


(a) tugas-tugas yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;

(b) tugas-tugas lain jika untuk menjalankannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain."



Fungsi Perundangan (Perkara 44)

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, maka baginda mempunyai kuasa-kuasa berikut:

-Memanggil Parlimen bermesyuarat dari masa ke semasa;
-Memberhentikan dan membubarkan Parlimen;
-Boleh memberi ucapan dalam mana-mana Majlis Parlimen dalam kedua-dua Majlis Parlimen bersama; dan
-Memperkenankan Rang Undang-Undang.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan. Di samping itu baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik empat puluh orang senator lagi.

Para senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ini adalah, pada hemat baginda, terdiri daripada orang-orang yang terkemuka dalam masyarakat dan banyak memberi sumbangan kepada masyarakat. Selain dari tokoh-tokoh yang terkemuka dalam bidang ikhtisas seperti perdagangan dan industri, pertanian, kegiatan kebudayaan dan sosial, tokoh-tokoh yang mewakili kaum minoriti seperti orang asli juga dipilih.


"44. Keanggotaan Parlimen.

Kuasa Perundangan Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat".



"45. Keanggotaan Dewan Negara.

(1) Tertakluk kepada Fasal (4), Dewan Negara hendaklah mengandungi ahli-ahli yang dipilih dan dilantik seperti berikut:


(a) dua orang ahli bagi tiap-tiap satu Negeri hendaklah dipilih mengikut Jadual Ketujuh; dan

(aa) dua orang ahli bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong; dan

(b) empat puluh orang ahli hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ialah orang-orang yang pada pendapatnya telah berbuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kepujian dalam lapangan profesyen, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan atau perkhidmatan masyarakat atau yang mewakili kaum-kaum yang kecil bilangannya atau yang mempunyai kebolehan mewakili kepentingan orang asli.

(3) Tempoh jawatan seseorang ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan tempoh itu tidaklah tercatat oleh pembubaran Parlimen.

(3a) Seseorang ahli Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua tempoh sama ada terus-menerus atau selainnya:

Dengan syarat bahawa jika seseorang yang telah pun tamat dua tempoh jawatan atau lebih sebagai ahli Dewan Negara adalah sebelum sahaja mula berkuatkuasanya Fasal ini seorang ahli Dewan Negara maka ia bolehlah terus berkhidmat sebagai ahli sedemikian itu selama baki tempohnya.

(4) Parlimen boleh dengan undang-undang:


(a) menambah bilangan ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu Negeri hingga tiga orang;

(b) membuat peruntukan supaya ahli-ahli yang akan dipilih bagi tiap-tiap satu Negeri dipilih dengan undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;

(c) mengurangkan bilangan ahli-ahli yang dilantik atau menghapuskan ahli-ahli yang dilantik".



Fungsi Kehakiman

Yang di-Pertuan Agong juga memainkan peranan penting dalam bidang kehakiman. Adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim-hakim Mahkamah Agung, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja. Di samping itu juga baginda boleh melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

Selain dari itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimana pun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun. Seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan cara menulis surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai penyingkiran hakim pula, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah disingkirkan atas alasan berkelakuan tidak senonoh, atau ketidakupayaannya menjalankan tugas kerana kesihatan ataupun fikiran terganggu atau lain-lain alasan. Selepas menerima representasi itu Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan, dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya.

Perlu diingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan seseorang hakim atas kemahuannya. Hanya melalui representasi yang dibuat oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara dan selepas menerima laporan tribunal maka Yang di-Pertuan Agong boleh menyingkirkan seseorang hakim itu dari jawatannya.

Sungguhpun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima ataupun menolak cadangan–cadangan tribunal dalam menyingkirkan atau mengekalkan hakim itu pada jawatannya.

[ Next Thread | Previous Thread | Next Message | Previous Message ]

Replies:
Subject Author Date
Yang inipun "sudah terang lagi bersuluh"samdol11:43:41 08/17/05 Wed
mu tanya orang ni,, mu faham ke tak?????abe lanun22:03:03 08/18/05 Thu


Post a message:
This forum requires an account to post.
[ Create Account ]
[ Login ]
[ Contact Forum Admin ]


Forum timezone: GMT+8
VF Version: 3.00b, ConfDB:
Before posting please read our privacy policy.
VoyForums(tm) is a Free Service from Voyager Info-Systems.
Copyright © 1998-2019 Voyager Info-Systems. All Rights Reserved.