Subject: Kerajaan Pusat Tidak Boleh campur tangan |
Author:
siswasiswi
|
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
Date Posted: 11:59:33 09/19/05 Mon
Ini adalah contoh terbaik bagi menerangkan konsep pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia. Kerajaan Pusat tidak boleh campur tangan dengan mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mematuhi Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang akan dipinda tidak lama lagi. Perkara ini jelas termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Kuasa esekutif yang ada pada PM atau TPM tidak boleh campur tangan dalam hal-ehwal kerajaan negeri walaupun Kerajaan Pusat lebih berkuasa kerana kuasa yang ada pada Kerajaan Pusat terbatas.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta Kerajaan Pusat tidak campur tangan dengan mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mematuhi Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang akan dipinda tidak lama lagi. Beliau berkata: ``Urusan agama adalah hak negeri dan raja yang memerintah. Ia perlu melalui beberapa prosedur termasuk persetujuan Majlis Fatwa negeri sebelum boleh dibuat sebarang pindaan.'' Undang-Undang Keluarga Islam, adalah bidang kuasa MAIPs dan Majlis Fatwa negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Perlis, Datuk Abu Bakar Ismail berkata, kerajaan negeri enggan memperketatkan syarat terhadap suami yang berpoligami kerana ia dikatakan bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah.
Arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu tiga negeri termasuk Perlis yang tidak bersetuju dengan syarat ketat terhadap suami yang mahu berpoligami, memberi penjelasan berhubung perkara itu. Najib berharap semua negeri mematuhi tindakan menyelaras Undang-Undang Keluarga Islam kerana ia bertujuan memberi kebaikan.
Menteri Besar Perlis turut meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menunjukkan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran atau hadis yang mewajibkan suami mendapatkan kebenaran isteri pertama terlebih dahulu sebelum berpoligami.``Kalau ada ayat itu, Perlis sedia menyemak semula Undang-Undang Keluarga Islamnya supaya ia selaras dengan kehendak Islam,'' tegasnya. Shahidan menjelaskan, Undang-Undang Keluarga Islam terutama dalam aspek poligami yang dijalankan di Perlis selama ini tidak bertentangan sama sekali dengan kehendak Mazhab Shafie. Beliau bimbang sebarang pindaan memperketatkan syarat berpoligami akan menimbulkan bidaah dan mengelirukan masyarakat Islam.
Soal poligami mula menjadi polemik selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata,isteri tidak lagi perlu menunggu berlaku penceraian bagi menuntut harta sepencarian setelah mengetahui suami mereka berpoligami. Ia boleh dibuat selepas Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dipinda tidak lama lagi. Di bawah pindaan itu yang akan dibentangkan di Parlimen pada 22 September ini, isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian, walaupun tidak diceraikan, sekiranya suami mereka berpoligami. Selain itu, suami yang mahu berpoligami dikehendaki membawa isteri, bakal isteri dan waris termasuk wali memberi keterangan di mahkamah.
Reaksi kepada kenyataan Abdullah, tiga negeri iaitu Perlis, Terengganu dan Kelantan tidak bercadang meminda undang-undang keluarga Islam di negeri masing-masing. Kedah pula akan membuat sedikit pindaan dengan mengekalkan beberapa kuasa tertentu di peringkat negeri. Alasan ketiga-tiga negeri itu ialah Undang-Undang Keluarga Islam di negeri mereka mencukupi dan tidak perlu peruntukan baru bagi membolehkan isteri menuntut harta sepencarian setelah mengetahui suami mereka berpoligami. Antara faktor lain kenapa Perlis dan Terengganu tidak akan meminda undang-undang tersebut ialah untuk mengelakkan lebih ramai pasangan bernikah di negara jiran.
Inilah yang sewajarnya menggambarkan konsep pengasingan kuasa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun PM atau TPM cuba campurtangan tetapi jika kerajaan negeri negeri dan raja yang memerintah tidak bersetuju PM atau TPM tidak boleh berbuat apa-apa atau memaksa untuk memindanya. Kes ini samalah seperti isu Kerajaan Persekutuan mengambilalih bidang kuasa pengurusan air daripada kerajaan-kerajaan negeri, penubuhan Suruhanjaya Siasatan oleh Majlis Raja-Raja dan PM dikalahkan dalam beberapa keputusan mahkamah yang telah saya paparkan sebelum ini. Manakah isu atau kes yang boleh dijadikan sandaran yang membuktikan kuasa YDPA sebagai SIMBOLIK seperti yang didakwa oleh Muhazam dan kaum kerabatnya. Sila kemukakan bukti hatta satu isu sekalipun. Mereka hanya mampu menyatakan SIMBOLIK!!! SIMBOLIK!!! SIMBOLIK!!! dan tidak lebih dari itu.
[
Next Thread |
Previous Thread |
Next Message |
Previous Message
]
| |